Saturday 23 February 2013

Selendang merah untuk Diana



credit to google image^^
            
                   Diana membuka matanya perlahan-lahan, dunia yang tadinya kelam mula terserlah dipandangan. Hairan bercampur takjub, Diana kini berada di sebuah taman yang indah. Angin nyaman berhembus perlahan menyapa pipinya yang memerah. Bungaan indah dapat dilihat sejauh mata memandang. Taman di kelilingnya dipagari pepohonan ros merah bercampur ros putih dan juga ros kuning.
 ­
            “ Aku kat mana ni? Rasanya  tadi aku dekat Masjid Azhar. Tempat apa ni? MashaAllah..mustahil wujud taman seindah ini di Mesir.”

            Diana berkira-kira perlukah dia meninjau taman ini. Benarkah apa yang dia alami? Atau semua ini hanyalah mimpi?  Spontan Diana mencubit pipinya. “Ouchh” dia mengaduh kesakitan. Benarlah dia tidak bermimpi. Tiba-tiba telinganya menangkap alunan suara yang merdu. Suara yang cukup merdu itu sedang mengumandangkan ayat-ayat suci Al-Quran. Diana terpegun buat seketika. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah mendengar bacaan Al-Quran seindah ini. Hatinya terasa tenang.


            

               Dorongan hati membuatkan Diana mula melangkah untuk mencari sumber alunan suara itu. Setelah beberapa langkah, Diana terserempak dengan sekumpulan gadis yang begitu ayu di bawah sebuah astaka yang indah. Mereka duduk dalam bulatan. Nampaknya mereka sedang bertadarus. Salah seorang dari mereka bangun lalu menyambut kedatangan Diana.

            “Assalamua’laikum wahai saudaraku Diana, kami sememangnya menanti kedatanganmu. Mari duduk bersama kami” gadis berkulit cerah itu memimpin Diana lalu mempelawanya untuk menyertai gadis-gadis yang lain. Sebaik sahaja Diana melabuhkan punggungnya, gadis yang menyambutnya tadi duduk bersimpuh di sebelah Diana.

            “Namaku Aisyah.” gadis tersebut memperkenalkan diri selajur itu dia memperkenalkan sahabat-sahabatnya yang lain satu persatu. Diana terpinga-pinga. Pertama kali dalam hidupnya dia berhadapan dengan kejadian ini. Dibawa bertemu begitu ramai manusia. Selama ini Diana lebih suka menyendiri. Hatta mama dan papanya tidak pernah ambil kisah dengan perangainya.

            “Pasti kamu hairan mengapa kamu dibawa kesini. Janganlah kamu khuatir Diana, bila tiba masanya..kamu akan kembali ke dunia nyata,” Aisyah seolah mengerti apa yang bermain di fikiran Diana.

            “Mari bertadarus bersama kami,” Fatimah yang cukup ramah mengajak Diana bertadarus bersama yang lain untuk menyambung bacaan mereka yang tadi terhenti.

            “Tapi aku tak reti mengaji. Sepanjang hidup aku, tak pernah sekalipun mama dan papa mengajar aku mengaji,“ Diana menundukkan wajahnya. Dia malu. Malu dengan kekurangan dirinya.
            
               “Tidak mengapa wahai sahabatku, manusia itu berhak diberikan peluang kedua. Jika kamu jahil mengenai agama, akan kami ajarkan mengenainya. Sama ada kamu mahu ataupun tidak, itu yang menentukan kesungguhanmu. Yakinlah kedatanganmu ke sini tidak sia-sia,” Aisyah yang tidak pernah lekang dari senyuman itu cuba meyakinkan Diana bahawa kekurangan diri bukanlah sesuatu yang tidak dapat diubah. Diana terharu.

            “Fatimah, sila teruskan tadarusmu bersama yang lain. Aku ingin membawa Diana berjalan-jalan di taman ini. Jika kamu dan yang lain mengizinkan,” pinta Aisyah.

            “Silakan Aisyah, kami akan menantimu di sini,” Fatimah mula mengetuai tadarus Al-Quran. Diana dibawa Aisyah meninggalkan astaka yang mereka duduki menuju ke tasik berdekatan. Diana mengikuti langkah Aisyah. Entah mengapa, dia percaya dengan Aisyah walhal mereka baru bertemu sebentar tadi. Apabila memandang Aisyah, dia dapat merasakan mereka seperti sudah mengenali antara satu sama lain cukup lama.

            “Apa yang kamu menungkan Diana? Aku pasti pelbagai persoalan sedang berlegar di benakmu. Bersabarlah Diana. Aku akan menjelaskan satu persatu kepadamu kelak,” Aisyah memimpin Diana ke sebuah pondok di tepi tasik. Di dalamnya dialasi tilam empuk yang dihiasi motif bunga ros. Bunga kegemaran Diana. Mereka merehatkan diri di pondok tersebut.

            “Aku tengah pikir sebab apa aku ada kat sini? Rasanya tadi aku ada kat tempat lain pastu tiba-tiba je ada kat sini. Kau tahu kenapa aku ada kat sini Aisyah? ” Diana menjelaskan.

            “Sayangku Diana, gadis ini ibarat bunga. Segalanya mengenainya cukup indah. Wajahmu melambangkan kesempurnaan Diana. Alangkah baiknya kata-kata yang terhasil dari bibirmu juga yang baik-baik belaka. Kita ini muslimah Diana,”Aisyah menegur dengan lembut supaya Diana menjaga bahasanya. Diana tersedar akan silapnya lantas dia terus meminta maaf.

            “Engkau didatangkan ke sini dengan izin-Nya supaya engkau dapat merubah dirimu. Aku percaya engkau juga menginginkan perkara yang sama. Nescaya selepas ini, aku akan mengajarkan kepadamu erti ibadah. “

            “Mengapa saya yang dipilih Aisyah? Bukannya orang lain?

            “Rahsia ini akan engkau ketahui pabila urusanmu di sini selesai. Bersabarlah wahai Diana,” Aisyah memegang tangan Diana untuk meyakinkannya.

            Hari-hari Diana seterusnya dipenuhi dengan ilmu yang baru. Aisyah dan sahabatnya mengajarkan Diana bacaan solat dan bagaimana sebenarnya untuk memperolehi solat yang khusyuk. Diana mula belajar solat sejak dia menjejakkan kaki di Mesir.
           
                   Pada mulanya dia enggan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di bumi Ardul Kinanah itu. Namun atas desakan mama dan papanya, Diana terpaksa. Ya, dia tidak merelakan keputusan itu. Dia ingin bersama temannya, Sheila yang belajar di London.

            Hari pertama berada di Mesir dia terpaksa berpura-pura bersolat bersama kakak-kakak senior. Mana mahu disorokkan mukanya jika mereka mengetahui Diana tidak pernah belajar pasal solat apatah lagi mengamalkannya. Sedikit sebanyak Diana mula menunding jari menyalahkan mama dan papa kerana mereka mengabaikan ilmu agama lantas terpalit sikap itu kepada dirinya.

            Selang seminggu berada di Mesir, bulan Ramadhan tiba. Kemeriahan Ramadhan amat dirasai. Berbeza suasananya dengan Malaysia. Itu pendapat Diana. Kakak senior Diana, Kak Sarah merangkap mentor Smart Circle(SC) beria-ia mengajak Diana dan rakan se‘SC’ untuk beriktikaf di Masjid Azhar. Pada mulanya Diana menolak namun kesungguhan kak Sarah membuatkan hatinya tersentuh. Seusai menunaikan solat Asar, mereka bertolak ke Husein. Tempat membeli-belah yang terkenal di Mesir.

            Selepas berbuka puasa bersama ahli SC dan solat Maghrib, Diana terlelap. Sebaik sahaja Diana membuka matanya, dia berada di taman yang serba indah. Begitulah kisahnya bagaimana Diana dapat bertemu Aisyah. Sejak dari itu, Aisyah mengajarkan Diana cara solat. Diana juga diajarkan membaca Al-Quran bermula dari alif sehinggalah dia boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik.

            “Sebagaimana engkau tunduk dalam solatmu, bayangkanlah engkau bertemu Allah sebagaimana seorang hamba bertemu tuannya..sebagaimana seorang rakyat bertemu rajanya..tundukkan hatimu serendah-rendahnya, begitulah yang sepatutnya bagi makhluk pabila bertemu tuhannya,” kata-kata Aisyah begitu menusuk hati. Diana mula mengerti bahawasanya solat itu bukan perbuatan semata namun disertakan penyerahan hati kepada Allah.

             Setelah Diana menguasai Al-Quran dengan baik, Aisyah membawa Diana berjalan-jalan di tepi tasik. Mereka berzikir kepada Allah sambil menikmati keindahan alam.

            “Bagaimana perasaanmu setelah sebulan berada di sini Diana?” Aisyah mula melontarkan pertanyaan untuk memecahkan kesunyian. Diana mendiamkan diri. Dia melabuhkan punggung di sebuah bangku yang menghadap tasik.

            “Seperti dilahirkan semula. Itulah yang saya rasai. Sepanjang 20 tahun menempuh kehidupan, baru sekarang hati saya merasa cukup tenang. Saya faham apa ertinya hidup saya sebagai seorang muslimah. Hidup ini bukan semata-mata untuk mencari keseronokan namun ia sebenarnya perjalanan hamba untuk mencari tuhan. Saya sangat menghargai kehadiranmu Aisyah. Awak dah mengubah hidup saya dalam sekelip mata,” raut wajah Diana mencerminkan ketenangan dan kebahagiaan.

            “Syukurlah kini engkau mula sedar Diana. Banyak lagi yang perlu engkau ketahui namun tugasku hanya sampai disini,” Aisyah menundukkan wajahnya.

            “Apa maksud awak Aisyah? Adakah kita akan berpisah? Saya belum puas belajar dengan awak. Jangan tinggalkan saya Aisyah. Saya tak kuat untuk menanggung segalanya seorang diri,” Diana mula menangis. Wajahnya basah dengan airmata tanda dia tak sanggup berpisah dengan Aisyah dan dunianya. Aisyah mula menyeka air mata Diana.

            “Sudah kukatakan kepadamu, bila tiba masanya..aku akan memberitahu tujuanmu ke taman ini. Sebenarnya aku adalah dirimu Diana. Aku adalah amalan baikmu di masa hadapan. Dengan izin-Nya, engkau tiba di sini pada bulan Ramadhan yang mulia untuk aku curahkan sinar hidayah dan rasa ubudiyyah di hatimu Diana,” Aisyah membongkarkan rahsia sebenar mengapa Diana bisa sampai ke taman ini. Segala yang terjadi membuka ruang kepada Diana untuk berubah. Benarlah besarnya kuasa Allah. Segalanya mungkin dengan izin-Nya.

            Diana terpana. Rupa-rupanya Aisyah hadir untuk merubah hidup Diana. Rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan takdir-Nya, Diana tidak lagi hanyut dalam kesesatan.

            “Perpisahan itu tidak dapat dielakkan walaupun manusia tidak menginginkanya. Yakinlah perpisahan ini adalah ketentuan Allah. Engkau harus kembali ke dunia nyata. Tempatmu bukannya di sini Diana. Jika takdir mengizinkan dan engkau istiqamah dengan ibadahmu, kita akan bertemu,” Aisyah memberi kata perangsang kepada Diana supaya terus kuat dan merelakan perpisahan mereka.

            Diana akhirnya akur dalam kepayahan. Sehelai selendang sutera merah bermotifkan bungaan ros diletakkan dalam genggaman Diana. Ianya cukup lembut dan berbau harum. Aisyah menghadiahkannya buat Diana. Selendang merah itu dililitkan di bahu Diana.

sekali lagi, syukran Encik Google.


            “Selamat tinggal sahabatku, moga kita bertemu lagi” ucapan perpisahan mengiringi pemergian Diana. Sedikit demi sedikit Diana mula rasa mengantuk. Akhirnya dia tertidur sambil berbaring di riba Aisyah. Badan Diana mula bertukar menjadi manik-manik kecil lalu menghilang ke udara. Kala ini, Aisyah mula menangis.
                                   
                                                            ******************

            “Diana..bangun sayang. Dah nak masuk Isya’ ni,” kak Sarah mula mengejutkan Diana. Baru dia perasan Diana terlelap sambil bersandar di tiang masjid. Mungkin keletihan agaknya. Adik-adik SC yang lain pula sedang bertadarus sesama mereka. Mereka tidak mahu ketinggalan untuk mereka pahala ibadah yang berlipat ganda dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

            “Aisyah..” Diana menggumamkan nama yang cukup asing bagi Sarah. Siapa pula Aisyah yang dimaksudkan. Perlahan-lahan Diana membuka matanya. Diana memandang sekelilingnya. Dia mula menyedari bahawa dia kini masih berada di Masjid Azhar. Sehelai selandang merah pemberian Aisyah jatuh di ribanya. Dia teringat masa yang dihabiskan dengan Aisyah. Bermakna segala yang Diana alami bukannya mimpi. Diana merasakan dia belajar bersama Aisyah agak lama. Cuba memastikan keadaan, Diana bertanya kepada kak Sarah yang nampak kehairanan.

            “Sekarang dah pukul berapa kak Sarah?”
            “Baru pukul 8.20 malam Diana. Kejap lagi Isya’. Kenapa dengan awak Diana? Awak tak sihat ke? Sampai mengigau dalam tidur. By the way, Aisyah tu siapa?” Sarah melontarkan pertanyaan demi pertanyaan kepada Diana. Dia cukup bimbang sekiranya Diana jatuh sakit. Apapun, Diana di bawah tanggungjawabnya kini.

            Barulah Diana sedar bahawa pertemuan dengan yang dirasakan lama rupanya hanya beberapa minit di dunia nyata. Sekali lagi dia bersyukur ke hadrat Ilahi. Apa yang berlaku telah merubah hidupnya 360 darjah. Diana terus sujud syukur. Sarah mula pelik dengan kelakuan Diana. Diana nampak lain dari sebelumnya.

            “Sekali lagi akak tanya..awak ok tak ni?”
            “Saya sihat je akak. Jangan bimbang. Siapa sebenarnya Aisyah..dialah yang merubah hidup saya kak Sarah. Bagaimana dia merubah hidup saya. Biarlah menjadi rahsia diri ini buat selamanya,” Diana tersenyum lalu bangun menuju ke tempat wuduk. Dia berazam akan terus istiqamah dengan perubahan dirinya agar usaha Aisyah tidak sia-sia.

            “Aku berjanji kepadamu Aisyah. Kita pasti akan bertemu lagi dengan izin-Nya. Pasti Ramadhan kalai ini lebih bermakna. Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidup, dan matiku hanyalah untuk Allah.Ini hakikat perhambaan..”

            

No comments:

Post a Comment